SHAH ALAM: Sejumlah wang bernilai RM600,000 lesap selepas dilarikan seorang lelaki daripada bilik kebal sebuah bank di Damansara Heights, baru-baru ini.
Memetik laporan akhbar The Sun, lelaki itu datang ke bank berkenaan pada 8 September lalu kira-kira jam 12.30 tengah hari dengan memperkenalkan diri sebagai penyelenggara alat pemadam kebakaran.
Lelaki itu hanya memakai t-shirt, berseluar pendek, berselipar dan membawa beg sandang.
Ketika memperkenalkan diri kepada pengurus bank, lelaki itu dilarang untuk menjalankan tugasnya.
Sehinggalah pengurus bank itu keluar untuk makan tengah hari, lelaki itu dilihat masih berlegar-legar di tempat itu sebelum menyelinap melalui pintu di belakang kaunter bank.
Dia berpura-pura memeriksa alat pemadam berkenaan sewaktu kakitangan sibuk dan kemudiannya menghampiri bilik kebal.
Apabila ketua juruwang masuk ke bilik itu, lelaki tersebut meletakkan sekeping magnet pada selak pintu kunci berautomatik – menghalang selak itu terkunci secara automatik apabila ditutup.
Beberapa minit selepas ketua juruwang keluar, lelaki itu masuk ke bilik kebal dan memasukkan wang ke dalam beg galas yang dibawanya, dan dengan tenang keluar daripada bank.
Kira-kira jam 2.30 petang selepas pengurus bank pulang daripada makan tengah hari, dia bertanya perihal penyelenggara alat pemadam kebakaran itu dan dimaklumkan lelaki itu telah beredar.
Pengurus bank yang mulai curiga kemudiannya membuat pemeriksaan peti besi di bilik kebal dan mendapati RM600,000 telah lesap.
Sumber berkata tidak lama selepas kes itu dilaporkan kepada polis, penyiasat menahan pengurus bank berusia 40-an dan dia direman 2 hari untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun pengurus bank itu dibebaskan selepas dia didapati tidak terlibat dalam kes itu.
Pada Ahad, polis menahan ketua juruwang tetapi dia dibebaskan beberapa jam kemudian selepas disoal siasat. Kedua-dua kakitangan itu difahamkan digantung kerja.
Penyiasat berkata, suspek pernah membuat percubaan yang sama di syarikat lain dengan memperkenalkan diri sebagai juruteknik penghawa dingin.
Bagaimanapun, kakitangan syarikat tersebut curiga dan tidak membenarkannya masuk.
Sumber berkata penyiasat juga terkejut dengan kecuaian kakitangan bank itu.

Post a Comment